KUCHING: Pengetua sekolah diajak bersama kerajaan melaksana segala
dasar yang digubal demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Ketua
Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, pengetua dan
kerajaan mesti berdiri di saf yang sama, di atas satu hasrat dan
landasan sama iaitu membawa negara ke mercu kegemilangan.
“Seperti
pihak lain, pengetua juga kadangkala mempunyai pendapat dan pendirian
peribadi terhadap sebarang dasar dan tindakan kerajaan.
“Dalam hal
ini saya ingin menegaskan bahawa pengetua sebagai pelaksana dasar,
perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam melaksanakan dasar yang digubal
demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam
teks ucapannya yang dibacakan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan
Keluarga Datuk Fatimah Abdullah sempena perasmikan Persidangan
Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS) Ke-50
2015 di sini, semalam.
Tambah Adenan, dalam menghadapi era
globalisasi yang semakin kompetitif, para pengetua perlu menggembleng
tenaga dan pemikiran untuk membina semula ciri-ciri pengurusan dan
penampilan sebagai organisasi profesional.
Katanya ia sejajar
dengan trend pengurusan masa kini yang memberi keutamaan kepada
kepimpinan dan pengurusan sumber manusia yang berpaksikan kepada
nilai-nilai pembaharuan dan kepantasan.
“Pada hemat saya, dalam
konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, kepimpinan
pendidikan perlu menekankan pentingnya penyesuaian dibuat sebagai
respons kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat.
“Kepimpinan
pendidikan perlu mempunyai keupayaan melakukan perubahan sosial yang
membina, dengan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya mengambil
pendekatan strategik bagi menangani sebarang isu dan permasalahan,”
tegasnya.
Mengenai persidangan yang diadakan, Adenan berharap
semua pemimpin sekolah dapat berkongsi segala pengalaman dan kemahiran
yang ada.
Beliau turut berharap pihak pemimpin sekolah turut tidak
ketinggalan dalam dunia teknologi yang lebih produktif untuk melahirkan
modal insan yang berkualiti agar tidak ketinggalan dalam arus
teknologi.
Sementara itu Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon
dalam ucapannya berkata, melalui persidangan berkenaan pengetua akan
didedahkan dengan pengurusan pendidikan terkini dan perkembangan semasa
pendidikan di Malaysia khasnya dan dunia amnya.
Persidangan kata
beliau, menjadi wadah kepada pengetua dari seluruh negeri untuk bertukar
pengetahuan dan pengalaman untuk dimanfaatkan sebagai pemimpin unggul
di sekolah.
“Kita berharap pengetua sebagai pemimpin instruksional
di sekolah dapat membantu dalam melonjak pendidikan negara ke tahap
yang lebih cemerlang,” katanya.
Hadir sama dua Menteri Pelancongan
Datuk Gramong Juna dan Datuk Talib Zulpilip serta Naib Yang Dipertua
Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ibrahim Jamain.